Suntikan BCG (BCG injection) merupakan sebuah suntikan yang sangat penting buat bayi yang baru lahir. Hal ini kerana ia akan membantu mencegah penyakit tuberkulosis yang membahayakan. Tuberkulois merupakan sebuah penyakit yang berpunca daripada bakteria “mycobacterium tuberculosis”. Ia akan membawa kepada gejala demam sehingga menggigil, selesema, kahak pekat, batuk berpanjangan, kekurangan berat badan serta bengkak kelenjar pada leher. Oleh itu, ianya sangat penting bagi bayi yang baru lahir untuk disuntik dengan suntikan BCG ini. Namun demikian, sesetengah ibu bapa gagal melakukan tanggungjawab mereka dengan membawa anak mereka ke klinik untuk mendapatkan suntikan tersebut. Ini dikatakan kerana sesetengah golongan ibu bapa tidak percaya pada kebolehan ubat-ubatan moden ini untuk mencegah penyakit yang boleh membahayakan anak mereka. Saya berharap segelintir golongan ini akan menyedari kepentingan ubatan seperti ini supaya kesihatan bayi kecil boleh terpelihara tanpa sebarang masalah.