Mata sepet sebelah (unilateral ptosis) juga dikenal sebagai ptosis. Ianya boleh berlaku kepada seseorang akibat daripada trauma, faktor umur atau berikutan penyakit lain. Apabila ia melibatkan sebelah mata ia dikenali sebagai ‘unilateral ptosis’ dan apabila ia melibatkan kedua-dua belah mata ia dipanggil sebagai ‘bilateral ptosis’. Masalah ini boleh menjejaskan penglihatan mata kerana kelopak mata mungkin menghalang pupil. Ini boleh disembuhkan dengan rawatan atau secara semula jadi. Terdapat beberapa penyebab yang boleh membawa kepada masalah ini seperti kerosakan otot yang berfungsi untuk membuka kelopak mata, penyakit yang membawa kepada kerosakan saraf atau kelemahan otot, pendedahan kepada toksin terutamanya dari ular, keradangan, umur yang lanjut dan banyak lagi. Gejala yang berikutan masalah ini ialah wajah kelihatan letih selalu, mata akan mengalami kekeringan, menjejaskan penglihatan, sakit pada bahagian mata tersebut dan beberapa gejala lagi.